Saturday 1 December 2012

DOA PENUMBUK DERAS - KUAT






Sepertimana dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, bahawa Nabi saw berkata:
“Seorang mukmin yang kuat lebih baik dan dicintai oleh Allah daripada mukmim yang lemah.”
Tenaga atau kederat kebanyakkan wanita adalah lemah berbanding dengan kaum lelaki. Dengan mengamalkan doa ini. Penumbuk wanita tersebut boleh menumbangkan musuhnya walaupun musuh itu kuat darinya. Doa Penumbuk Deras/Kuat ini digunakan semasa nyawa sedang terancam. Gunakan ayat ini bila diperlukan sahaja. Gunakan untuk menyelamatkan diri. Jangan gunakan untuk menganiayai orang lain.

Kaum lelaki yang lemah dan sering dibuli atau nyawa sedang terancam boleh mengamalkan doa ini. Guna untuk menyelamat nyawa orang lain bila terjadi dihadapan anda. Jangan lari atau tengok sahaja kawan anda dibelasah tanpa berbuat apa-apa. 

Cara-cara:

Amalkan selepas solat. Baca 3 x sebelum menumbuk tepat pada muka atau badan musuh untuk menumbangnya ke tanah. InsyaAllah Allah akan memelihara hambaNya yang lemah dari perbuatan dan niat jahat orang yang mengancam nyawa hambaNya. Semuga mendapat pertolonganNya disaat anda memerlukan.


Terjemahannya:

"Mereka (seolah-olah orang yang) pekak, bisu dan buta; dengan keadaan itu mereka tidak dapat kembali (kepada kebenaran)."


Sunday 29 April 2012

20 Amalan Murah Rezeki


20 Amalan Murah rezeki


Amalan-amalan ini menjadi sebab Allah limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya. Berdasarkan konsep rezeki yang telah diperkatakan, Allah memberi jalan buat setiap hamba-Nya untuk memperolehi rezeki dalam pelbagai bentuk yang boleh menjadi punca kebaikan dunia dan akhirat.

Diantaranya:


1. Menyempatkan diri beribadah
Allah tidak sia-siakan pengabdian diri hamba-Nya, seperti firman-Nya dalam hadis qudsi:

“Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu.” (Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah .a.)

2. Memperbanyak istighfar
Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di depan Allah , yang menjadi sebab Allah jatuh kasih dan kasihan pada hamba-Nya lalu Dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba. Sabda Nabi s.a.w.:

“Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah s.w.t akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas .a.)

3. Tinggalkan perbuatan dosa
Istighfar tidak laku di sisi Allah jika masih buat dosa. Dosa bukan saja membuat hati resah malah menutup pintu rezeki. Sabda Nabi s.a.w.:

“… dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya.” (Riwayat at-Tirmizi)

4. Sentiasa ingat Allah
Banyak ingat Allah buatkan hati tenang dan kehidupan terasa lapang. Ini rezeki yang hanya Allah beri kepada orang beriman. Firman-Nya:

“(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah . Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.” (Ar-ra’d: 28)

5. Berbakti dan mendoakan ibu bapa
Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah s.a.w. berpesan agar siapa yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan. Baginda s.a.w. juga bersabda:

“Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya.” (Riwayat Abu Ya’ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim)

Mendoakan ibu bapa juga menjadi sebab mengalirnya rezeki, berdasarkan sabda Nabi s.a.w.:

“Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah ) daripadanya.” (Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)

6. Berbuat baik dan menolong orang yang lemah
Berbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah menggembirakan dan meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir miskin, juga isteri dan anak-anak yang masih kecil. Sabda Nabi s.a.w.:

“Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu.” (Riwayat Bukhari)

7. Tunaikan hajat orang lain
Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah lapangkan rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda Nabi s.a.w.:

“Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya…” (Riwayat Muslim)

8. Banyak berselawat
Ada hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-cita tidak tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua hajat. Wallahu a’lam.

9. Buat kebajikan banyak-banyak
Ibnu Abbas berkata:

“Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya.”

10. Berpagi-pagi
Menurut Rasulullah s.a.w., berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang berkat.

11. Menjalin silaturrahim
Nabi s.a.w. bersabda:

“Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya.” (Riwayat Bukhari)

12. Melazimi kekal berwuduk
Seorang Arab desa menemui Rasulullah s.a.w. dan meminta pedoman mengenai beberapa perkara termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh Allah . Baginda s.a.w. bersabda:

“Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah akan memurahkan rezeki.” (Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid)

13. Bersedekah
Sedekah mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah buka pintu rezeki. Nabi s.a.w. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam:

“Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya.” (Riwayat ad-Daruquthni dari Anas .a.)

14. Melazimi solat malam (tahajud)
Ada keterangan bahawa amalan solat tahajjud memudahkan memperoleh rezeki, menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan doanya dimakbulkan Allah .

15. Melazimi solat Dhuha
Amalan solat Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan urusan dunia (aktiviti harian), juga mempunyai rahsia tersendiri. Firman Allah dalam hadis qudsi:

“Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya.” (Riwayat al-Hakim dan Thabrani)

16. Bersyukur kepada Allah
Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah . Lawannya adalah kufur nikmat. Allah berfirman:

“Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat keras.” (Ibrahim: 7) 

Firman-Nya lagi: “… dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.” (Ali Imran: 145)

17. Mengamalkan zikir dan bacaan ayat Quran tertentu
Zikir dari ayat-ayat al-Quran atau asma’ul husna selain menenangkan, menjenihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadilat khusus untuk keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan faham agama, diberi kemanisan iman dan dilapangkan rezeki.

Misalnya, dua ayat terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca secara konsisten tujuh kali setiap kali lepas solat, dikatakan boleh menjadi sebab Allah lapangkan kehidupan dan murahkan rezeki.

Salah satu nama Allah , al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan dapat menjadi sebab dibukakan pintu rezeki jika diwiridkan selalu; misalnya dibaca “Ya Allah ya Fattah” berulang-ulang, diiringi doa: “Ya Allah , bukalah hati kami untuk mengenali-Mu, bukalah pintu rahmat dan keampunan-Mu, ya Fattah ya ‘Alim.” Ada juga hadis menyebut, siapa amalkan baca surah al-Waqi’ah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kepapaan. Wallahu a’lam.

18. Berdoa
Berdoa menjadikan seorang hamba dekat dengan Allah , penuh bergantung dan mengharap pada rahmat dan pemberian dari-Nya. Dalam al-Quran, Allah suruh kita meminta kepada-Nya, nescaya Dia akan perkenankan.

19. Berikhtiar sehabisnya
Siapa berusaha, dia akan dapat. Ini sunnatullah. Dalam satu hadis sahih dikatakan bahawa Allah berikan dunia kepada orang yang dicintai-Nya dan yang tidak dicintai-Nya, tapi agama hanya Allah beri kepada orang yang dicintai-Nya saja. (Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim)

Bagi orang beriman, tentulah dia perlu mencari sebab-sebab yang boleh membawa kepada murah rezeki dalam skop yang luas. Misalnya, hendak tenang dibacanya Quran, hendak dapat anak yang baik dididiknya sejak anak dalam rahim lagi, hendak sihat dijaganya pemakanan dan makan yang baik dan halal, hendak dapat jiran yang baik dia sendiri berusaha jadi baik, hendak rezeki berkat dijauhinya yang haram, dan sebagainya.

20. Bertawakal
Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan Allah . Firman-Nya:

“Barang siapa bertawakal kepada Allah , nescaya Allah mencukupkan (keperluannya) .” (At-Thalaq: 3)

Nabi s.a.w. bersabda:

“Seandainya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang.” (Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattab .a.)

Kesemua yang disebut di atas adalah amalan-amalan yang membawa kepada takwa. Dengan takwa, Allah akan beri “jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkan) , dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.” (At-Talaq: 2-3)

Pendek kata, bagi orang Islam, untuk murah rezeki dalam ertikata yang sebenarnya, kuncinya adalah buat amalan-amalan takwa. Amalan-amalan ini menjadi sebab jatuhnya kasih sayang Allah , lalu Allah limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya.

Friday 27 April 2012

Khutbah Terakhir Nabi MUHAMMAD S.A.W



Wasiat_Terakhir_Rasulullah.jpg
KHUTBAH TERAKHIR NABI MUHAMMAD S.A.W


Dari Abdullah bin 'Amr r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda:"Sampaikanlah PesanKu Biarpun Satu Ayat..."
Khutbah ini disampaikan pada 9hb. Zulhijjah Tahun 10 Hijriyah di lembah Uranah, Gunung Arafah.

Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan. Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.

Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapa pun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan diatas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.

Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar. maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil. Wahai manusia sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu mereka juga mempunyai hak di atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang.

Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan belemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

Wahai manusia, dengarlah bersunggah-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah sembahyang lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah Ibadah Haji' sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam taqwa dan beramal soleh.
Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan di atas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku. Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru.
Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku.

Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu...

Sumber: www.al-azim.com/~beringin/bicara/terakhir.htm


Nota:  Semoga hidup ini tak akan sesat kerana bersuluhkan dua perkara yang ditinggalkan oleh Rasulullah iaitu Al-Quran dan Sunnah.

Thursday 26 April 2012

Istiqamah Dalam Melakukan Ibadah

Assalamualaikum w.b.t.

Alhamdulillah. Kita bersua kembali. (n_n)
Saya sebagai pihak administrator memohon maaf atas sebab sudah lama tidak mengemaskini Blog Dakwah Islamiah ini.
InsyaAllah. Mulai saat ini. Jika berpeluang, saya akan cuba sedaya upaya untuk mengemaskini blog ini dengan medium-medium dakwah, nasihat, tazkirah, doa dan macam-macam lagi. InsyaAllah.
Semoga Allah permudahkan. =)

Baiklah. Seperti yang tertulis pada tajuk post kali ini, Istiqamah Dalam Melakukan Ibadah. Saya akan cuba mengupas sedikit tentang kepentingan dan kelebihan atau khasiat apabila kita sentiasa beristiqamah dalam melakukan ibadah. InsyaAllah.

Istiqamah secara umumnya bermaksud memberikan komitmen dalam melaksanakan sesuatu perkara dengan penuh konsisten dan dengan penuh kesungguhan. Atau dengan kata lain, istiqamah ialah ketetapan pendirian dalam melaksanakan sesuatu perkara.

Kepentingan istiqamah dalam beribadah ialah mampu membentuk akhlak dan sahsiah atau keperibadian kita dalam kehidupan seharian. Jika kita tidak istiqamah dalam melakukan sesuatu ibadah, kita akan merasakan kekurangan dalam diri kita. Seperti hati tidak tenteram atau terasa kekosongan dalam diri. Perkara ini mudah terjadi terutama sekali apabila kita sudah berjaya istiqamah dalam beribadah kepada Allah SWT sebelum ini dan terputus dari istiqamah pada suatu ketika selepas itu. Hal ini kerana syaitan sentiasa berusaha sedaya upaya untuk memusnahkan anak Adam sedikit demi sedikit dengan menjauhkan hamba Allah dari istiqamah dalam beribadah kepada Allah SWT.

Oleh sebab itu, dengan apa cara sekalipun. Kita perlu melawan segala kemalasan yang disebabkan oleh godaan syaitan yang ingin menjauhkan kita dari istiqamah dalam melakukan ibadah kepada Allah SWT.

Sabda Rasulullah S.A.W:
"Berteguh-hatilah kamu (istiqamahlah) kamu meskipun tidak akan mampu melakukan sepenuhnya. Ketahuilah bahawa bahagian terbaik dari agamamu adalah sembahyang, dan tiada seseorang yang memelihara wudhu’, kecuali orang yang beriman.” (HR Ahmad, Ibnu Majah, Al-Hakim dan Al-Baihaqi)


Dari keterangan hadis di atas, jelaslah bahawa kita diperintahkan agar beristiqamah dengan bahasa yang agak tegas. Ini jelas sekali terdapat hikmah yang AMAT HEBAT di sebalik perintah istiqamah.

Antara kelebihan istiqamah dalam melakukan ibadah kepada Allah SWT ialah:

- Mereka akan selalu didampingi oleh malaikat.

Beruntunglah mereka yang didampingi oleh malaikat apabila istiqamah dalam beribadah. Hal ini kerana, muslimin yang sentiasa didampingi oleh malaikat akansentiasa merasa tenang, gembira dan tiada khuatir, mereka akan sentiasa membuat kebaikan dan tidak akan bertindak mengikut hawa nafsu, wajahnya akan sentiasa berseri dan dia tidak akan mudah marah atau tersinggung.

- Mereka tidak akan ada rasa takut.

Sebagai mana yang termaktub di dalam Al-Quran: 

…janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu)…” (Surah Al-Fussilat: 30).

- Mereka tidak akan berasa sedih.

Sebaliknya, mereka akan berasa gembira dan bahagia kerana hati mereka telah diisi dengan ketenangan dan ketenteraman akibat mereka istiqamah dalam beribadah. Mereka akan sentiasa redha dengan segala ketentuan Allah kepada mereka.

- Mereka akan mendapat balasan syurga di akhirat kelak.

Mereka yang istiqamah akan mendapat balasan syurga, sebagaimana firman Allah di dalam Al-Quran:

"…dan terimalah berita gembria bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.” (Surah Al-Fussilat: 30)

- Mereka akan dimurahkan rezeki.

Sesiapa yang istiqamah dalam kebaikan dan tetap dijalan yang benar, maka mereka akan mendapat rezeki yang melimpah ruah, sebagaimana firman Allah Ta’ala di dalam Al-Quran:

“(Nabi Muhammad diwahyukan menerangkan lagi): Dan sesungguhnya sekiranya mereka (manusia dan jin) itu berjalan lurus di atas jalan (Islam) itu, sudah tentu Kami akan memberi minum kepada mereka air yang segar. (Pemberian yang demikian) supaya Kami menguji mereka dalam menikmati apa yang Kami berikan itu (adakah mereka bersyukur dan istiqamah menurut Islam). (Ingatlah) sesiapa yang berpaling daripada mengingati Tuhannya (dengan berlaku ingkar, maka) Tuhan akan memasukkannya ke dalam azab yang amat berat.” (Surah Al-Jinn: 16-17)

Lihatlah betapa beruntungnya orang yang berjaya istiqamah dalam beribadah. Bagaimana dengan kita? Marilah kita mulakan beristiqamah. Bersama-samalah kita merebut peluang-peluang yang diberikan oleh Allah SWT. InsyaAllah. Semoga kita sentiasa mendapat rahmat dan keberkatan dariNya.

Semoga kita bertemu lagi. InsyaAllah. =)

Jika ada sebarang komen, cadangan or anything, sila hantarkan kepada saya Suffian (Administrator)
di e-mel: Khalifahmalaya@gmail.com

Wallahua'lam~